IBUKU....SYURGAKU

Sunday, 17 July 2011



Panggilan yang menggetarkan nurani – Ibu, ummi, emak dan mama

Apa jua panggilan untukmu, kami tahu engkaulah insan yang terpahut kukuh di setiap jiwa-jiwa yang merindui, menyanjungi dan memuliakanmu. – Ibu, Engkaulah jalan syurgaku!

Ibuku, Jalan Syurgaku

Oleh : BroHamzah

Ibu Ummi Emak dan Mama

Apa jua panggilan anda kepada seorang wanita yang melahirkan, membesarkan, memelihara dan mendidik anda – Seharusnya anda pause seketika, memandang raut wajah mereka dengan penuh kasih sayang dan kecintaan yang dalam terhadapnya.

Ya. Berhenti sejenak. Memandang jauh ke dalam celah-celah kehidupan yang berkemungkinan kita sendiri tidak menyedarinya.

Buangkan segala perasaan ketidakpuasan hati, dendam yang tidak berkesudahan dan kebencian yang tidak bertepian kepada ibu-ibu kita lantaran kesilapan mereka dan kelemahan kita.

Leburkan keegoaan, kebongkakan dan keangkuhan kita buat seketika. Lupakanlah segala kisah-kisah duka kita yang menjadi episode kisah lama yang tidak berkesudahan, igauan silam yang sering menghantui kehidupan dan menjadi bebanan kepada kita sehingga ke hari ini.

Tanya kepada diri kita dengan jujur dan ikhlas.

Sebenarnya siapakan mereka dihati kita?

Adakah wujudnya ruang di dalam sudut jiwa kita ini – mereka di dalamnya?

Atau ibu-ibu kita ini hanya manusia biasa seperti manusia lain yang melata di alam dunia ini.

Imbauan Kenangan Lalu

Marilah kita susuri alur kehidupan itu sebagai cerminan sebuah perjalanan kehidupan. Kembali ke masa-masa nan indah, saat merajut benang-benang cinta, merenda hari-hari penuh makna, merindui harmoni jiwa dan menemukan bahagia di ufuk rasa.

Bayangkan dengan sepenuh jiwa yang tumbuh di dada kita. Berikanlah masa dan ruang kepada jiwa kita untuk bertenang. Memberikan kesempatan kepada hati untuk subur kembali serta hidup subur dengan warna-warna kasih sayang yang tidak bertepian.Mudah-mudahan, mata hati kita yang semakin tumpul dan gersang ini kembali mekar dengan nilai-nilai kasih sayang yang mendamaikan.

Hulurkan cinta yang menjadi fitrah di hati. Usirkan segala bentuk kebencian yang mencengkam jiwa kasih sayang seorang anak terhadap ibunya. Pupuk dan hadirkanlah perasaan cinta yang mendalam buat ibu kita, insan yang seharus menjadi manusia yang teristimewa di dalam hayah ini.

Benar, teringat kata-kata Ustaz Rahmat Abdullah – seorang tokoh pendakwah di Indonesia – “ Cinta menghilangkan segala rasa sakit!-

Saat kita masih bertatih mengenal dunia, ibu kita menjaga dan memelihara kita dengan penuh kasih sayang yang tak tertumpah. Ibu menyuapi, memandikan dan bersengkang mata menjaga kita dengan layanan top class. Setiap saat dan detik, ibu memperhatikan di tempat tidur – bimbang jika ada serangga-serangga kecil yang menganggu, menggigit dan menrayap-rayap di tubuh kita yang comel itu.

Begitu peka, sensitif dan teliti.

Ditatapnya wajah kita dengan ukiran senyuman yang sungguh indah.

Mata kita direnungi dengan penuh pengharapan

Kulit pipi kita yang gebu disentuhi dengan hujung jari dengan curahan jiwa yang penuh

Semangat ibu sungguh luar biasa. Seharian berkejaran melakukan itu dan ini. Bermula di pagi yang dingin, ibu orang yang pertama yang bangun membersih diri. Dan, bermulalah rutin hari dengan pelbagai kerja, komitmen dan tugasnya sehingga ke malam hari. Tanpa rungutan, keluhan dan keputus asaan. Semua dilakukan dengan penuh keikhlasan, kesungguhan dan komitmen yang mendalam.

Disamping kerja yang benar-benar banyak dan bertimbunan tanpa kesudahan. – Ibu tidak pernah lupakan untuk memberikan didikan yang terbaik buat belahan hatinya. Iaitulah aset harta yang tidak bernilai harganya : anak-anak. Saban waktu dan ketika, diberikan peruntukan masa untuk mengajar dan membimbing anak-anak sehingga mampu membaca, menghafal dan menulis.

Tutur katanya adalah harapan dan doa

Nasihat yang bermakna buat jiwa

Keredhaanya adalah keredhaan Rabbuna

Kemurkaannya adalah kemurkaan yang membawa bencana

Harapan dan kasih sayang seorang ibulah yang medorong, memotivasikan dan mencita-citakan buah hatinya dalam lantunan doa-doa yang selalu menghiasi zikir munajat dan rintihannya kepada Ilahi. Doa yang dipanjatkan dengan kerendahan jiwa mengisi solatnya, mewarnai interaksinya dengan rabb dengan penuh kesyahduan dan kekhusyukan.

Dan dari susuk peribadian seorang ibulah, lahirnya manusia-manusia yang hebat. Manusia-manusia yang terkenal dengan keberanian, kepahlawanan dan kebijaksanaan. Mereka terbentuk sedemikian dengan usaha-usaha didikan dan sentuhan “magis” seorang yang bergelar ibu.

Saya suka satu kalimah yang menggugah jiwa saya.

“ Disebalik kehebatan seorang lelaki, dibelakangnya ada seorang wanita yang berjiwa besar menyokongnya.”

Disebalik kejayaan, kecemerlangan dan kepahlawanan seorang anak dalam kehidupan, kerjayaan dan pencapaiannya – insyaAllah, ada seorang insan yang memberikan didikan, dorongan, sokongan dan inpirasi kepada nya. Itulah aura seorang insan yang bergelar ibu.

Akademi, sekolah dan madrasah pertama individu-individu yang hebat,berjaya dan bersinar dalam dunia semuanya bermula dengan sentuhan guru yang pertama iaitu ibu. Mereka adalah madrasah sebelum madrasah yang lainnya.

Itulah Al-ummu madrasatun. ( Madrasah keibuan)

Seorang ibu adalah akademi, sekolah, institusi dan pusat pengajian bagi setiap anak-anaknya sekaligus menjadi madrasah cinta para pahlawan yang gagah berani dalam sejarah peradaban dunia. Di sebalik perwatakan, keperibadian, susuk tubuhnya dan tutur bicara seorang ibu – ia telah melahirkan puluhan ribu manusia-manusia yang hebat dalam sejarah dunia.

Ibu, mereka adalah insan yang dihiasi dengan kelembutan, keindahan, keistimewaan dan ketenangan. Di tangan merekalah lahirnya manusia-manusia yang berjiwa besar, lahirnya para ulama, terbentuk manusia-manusia yang bersabar dan wujudnya manusia-manusia yang bijak seperti cendiakawan.

Ibu, dia adalah insan yang terhias di raut wajahnya dengan warna kasih sayang yang tiada bandingan. Seorang teman, pendamping dan teman dalam duka. Insan terbaik untuk meluahkan perasaan, kehibaan, kesedihan dan kekecewaan. Tempat berlindung dan mengadu segala kesakitan dan penderitaan. Didikan, asuhan dan belaiannya adalah kedudukan yang paling mulia dan dialah sumber pancaran kasih sayang yang menyinari alam.

Ibu, pada matanya ada rahsia, dikelopak matanya ada derita. Namun, semuannya dipendam jauh di pangkal jiwa demi kebahagiaan, kesenangan dan kejayaan anak-anak tercinta. Pelukannya penuh makna kemanusiaan. Ciumannya kepada anak-anak adalah selawat hati dan segala curahan keperihatinan kepada mereka adalah ibadah buat Rabbul Izzati.

Ibu , mereka umpama mentari yang menghidupkan keserian seisi bumi.Hilangnya wanita yang bergelar ibu dari kehidupan, ia akan menguburkan sebuah kebahagiaan. Lenyapnya mereka dari pentas atlas dunia bererti terbunuhnya kegembiraan yang mengakar jiwa.

Kisah-kisah mereka yang terkenal dengan ketokohan, kepahlwanan, keilmuan, kebijaksanaan dan kemahsyuran semuanya bermula dengan didikan tangan seorang ibu. Ingatkan anda kisah seorang imam mazhab yang kecil-kecil sudah menjadi mufti, – Imam Syafiee? Imam Nawawi yang gigih dalam menuntut ilmu sehingga lupa untuk menjamah makan? Pemimpin yang begitu tegar memimpin bala tenteranya yang berlayar di atas dataran, Sultan Muhammad al-Fateh? Kisah kecekalan As Sayyid Syed Qutb yang teguh dalam berjuangan penannya? Kesungguhan semangat jihad Abdullah Azzam, bapa jihad zaman moden yang akhir menemui cita-cita agungnya iaitu mati syahid? – Dan siapakah seorang insan disebalik kehebatan dan keluarbiasaan mereka ini?

Itulah penangan sentuhan tangan bonda yang sangat-sangat luar biasa.

Ibuku, Jalan Syurgaku

Sedarkah kita, ibu menjadi salah satu lorong-lorong dan jalan menuju ke syurga. Tiket untuk ke sana, dipegang oleh keredhaan ibu kita terhadap anak-anaknya. Justeru, harus kita meniti beratkan soal ini sebagai salah satu agenda yang terpenting di dalam hayah ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“ Ibu bapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepadamu, apakah engkau sia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”

( Riwayat Tirmidzi)

Tepuk dada, soallah iman kita. Sama ada kita ingin menjadikan ia sebagai agenda, atau ingin menyia-yiakannya pergi begitu sahaja.

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengajak kita melihat diri kita. Melihat bagaimana kita berhemah, berbakti dan menyantun kedua ibu bapa kita. Terutamanya ibu kita sendiri. Perkara ini sangat-sangat penting, bahkan Prof Dr Yusuf Al-Qardawi telah menukilkan sebuah karya yang sangat bagus untuk diteliti oleh setiap daripada kita iaitu Fiqh Birrul Walidain. ( Fiqh Mentaati Ibu Bapa).

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Dan Rabb-Mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.”

( Al-Isra 17 : 23)

Birrul Walidain ia adalah ajakan untuk menjejaki syurga yang abadi. Lorong-lorong untuk kita menghampiri dan mendekati syurga Allah SWT dan meraih keredhaan-Nya. Ia adalah salah satu cara untuk menyelamatkan seseorang daripada azab api neraka yang dahsyat lagi mengerikan.

Birrul Walidain, bererti berbakti, mematuhi, mentaati, memelihara kedua orang tua, menjamin hak-hak peribadi mereka, memenuhi keperluan kehidupan mereka, mengasihi mereka sepenuh jiwa dan rasa. Ia sebenarnya adalah pusat kekuatan energi kehidupan yang menghidupkan.

Birrul Walidain adalah pintu syurga yang paling tengah. Sesiapa yang peka dan sensitif dengan tolakan dan desakan keimanan yang luruh ia akan membuat pemilihan yang bijak. Bahkan akan bertindak segera untuk meraih energi kebahagiaan yang sejati. Namun, bagi yang derhaka maka bersiap-siaplah untuk sengsara penuh derita!

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“ Dosa-dosa besar adalah menyekutukan Allah, dan derhaka pada kedua ibu bapa dan membunuh manusia dan sumpah palsu.”

( Riwayat Bukhari)

Birrul Walidain, bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan agama dan kewajipan. Tetapi ia dimaknai dan diertikan dengan pantulan keimanan, keyakinan, kepercayaan dan kepasrahan kepada Allah SWT. Kerana itulah, jasa bakti dan khidmat ini harus direncanakan dan digerakan sama ada ketika masih hidup mahupun setelah tiada.

Membahagia jiwa Sang Bidadari Dunia

Saya masih mengingati sebuah buku yang pernah saya beli ketika membuat lawatan ke Makasar, Indonesia pada pertengahan tahun lepas yang ditulis oleh seorang penulis bestseller Zero To Hero – Solikhin Abu Izzudin iaitu yang bertajuk The Great Power Of Mother – Inspirasi Dahsyat Dunia Akhirat. Buku yang menyentuh tentang kehebatan seorang wanita yang bergelar ibu, ummi, mama dan emak. Saya membaca dengan penuh minat. MasyaAllah. Ajakannya untuk menjadikan peluang dan nikmat memiliki seorang ibu sebagai laluan untuk menuju ke syurga harus dilihat dengan penuh semangat dan jiwa yang terbuka.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Mereka yang menyalahi janji Allah sesudah diteguhkannya. Dan memutuskan apa-apa yang diperintah Allah supaya dihubungkan, dan membuat kerosakan di muka bumi. Untuk mereka laknat Allah dan bagi merekalah seburuk-buruk tempat tinggal (neraka).”

( Ar-Ra’d 13 : 25)

Bagaimanakah untuk membumikan Birrul Walidain ini di dalam kehidupan, agar ia menjadi langkahan kita menuju syurga? Saya kongsikan dengan anda berdasarkan panduan Al-Quran, Hadis, nasihat ulama’ dan pembacaan ilmu. InsyaAllah.

* Mentaati selama mana mereka tidak bermaksiat
* Memberikan nafkah dan mencukupi keperluan mereka
* Menyambung silaturahim sesama ibu dan anak
* Mendahulukan kepentingan mereka
* Melakukan pengorbanan untuk mereka
* Bersegeralah menyahut panggilan mereka
* Bermanis muka di hadapan mereka
* Tidak mengatakan “Uf” kepada mereka
* Tidak mencela keduanya
* Membalas jasa mereka
* Membawa mereka menunaikan haji ke Makkah
* Meminta izin kepada mereka untuk memasuki kamar keduanya
* Sentiasa mendoakan mereka selepas solat
* Sentiasa bertanya khabar kepada mereka melalui telefon, surat atau perantaraan alam maya seperti emel.
* Berdiri menyambut kedatangan mereka ketika bertandang ke rumah
* Memohon keredhaan ibu bapa dan memohon kemaafan jika melakukan kesalahan

Anak yang berjiwa himmah

Himmah, semangat, keazaman dan tekad dalam berbakti kepada ibu perlu kita janakan. Bila? Bermula sekarang. Di saat, usia kita yang masih berbaki ini. MasyaAllah – ketahuilah banyak ganjaran dan imbuhan jika kita berbuat baik, mentaati dan menyantuni kedua ibu bapa kita. Khususnya, insan yang sangat hampir dan dekat dengan kita. – Ibu kita sendiri.

Saya teringat pesanan murabbi saya berkaitan keharmonian rumahtangga yang mungkin kita sebagai anak boleh aplikasikannya. Katanya sebuah keluarga yang bahagia harus memiliki dan mengamalkan 3 T.

Formula 3T. Apakah perkara itu?

T yang pertama ialah Touch. Sentuhan. Keluarga yang hajat kepada kebahagiaan harus memiliki sentuhan kasih sayang, cinta dan perasaan. Sama ada sentuhan dalam bentuk kejiwaan atau fizikal. Luahan, penyataan dan belaian adalah kata kunci kekeluargaan yang tiada boleh diabaikan oleh ahli keluarga sama ada bapa, ibu atau anak-anak.

Lihat, dan tanya hati. Adakah kita benar-benar memberikan sentuhan hati ini kepada ibu kita? Tanyalah dengan jujur. Tanyalah ia dengan mata hati yang benar-benar menginsafi.

T yang kedua ialah Time. Masa. Kualiti masa dalam bentuk “kebersamaan” adalah suatu hubungan yang sangat-sangat penting untuk diteliti. Sesibuk mana kita semua – anda, saya dan mereka-mereka- saat –saat bersama keluarga tidak boleh dipandang remeh. Pentingkan kualiti masa itu lebih utama daripada kuantiti masa bersama keluarga. Pilihan ditangan anda.

Bagaimana kita? Sibukah kita sehingga “tiada” masa untuk diluangkan untuk ibu kita. Tanyalah hati sendiri, anda berhak menjawabnya!

T yang ketiga ialah Talk. Bicara, sembang-sembang dan luahan jiwa. Komunikasi melalui tutur bicara adalah komunikasi yang sangat-sangat penting dalam pembinaan perhubungan kemanusian dan kekeluargaan. Kelompongan aspek ini benar-benar ketara di dalam masyarakat hari ini, bahkan senda gurau, gelak tawa dan senyuman semakin tawar, hambar dan hilang serinya di dalam institusi keluarga hari ini.

Bicara kita? Adakah terdinding dan terhijab dengan kebekuan jiwa dan kelesuan interaksi sentuhan nurani yang mesra dan ramah?

Semoga kita, tersedar dari lamunan yang panjang. Di kampung dan di halaman kediaman kita ada insan yang sedang menantikan kepulangan dan kewujudan kita di sisinya setiap ketika dan masa. Mereka dahagakan curahan kasih sayang, belaian mesra dan sentuhan kejiwaan daripada kita.

Wahai, anak-anak – sesibuk mana pun kalian, berhubunglah dengan ibu kalian. Usah biarkan air matanya menitis perlahan-lahan membasahi pipi lantaran keterlukaan dan terasa hati dengan sikap kita. Hanya beberapa minit sahaja yang diperlukan untuk bertanya khabar dan menyantuni mereka melalui corong telefon yang kini mudah untuk dilakukan.

Suara-suara bicara kalian – adalah kerinduan yang memuncak di nurani seorang ibu. Ibu kalian hanya perlukan sedikit sahaja sela-sela masa kesibukanmu untuk “bersama”nya. Adakalanya, kita akan tersentak bahawa kita “memiliki” seorang ibu apabila setelah sampai suatu berita kepada kita :


014 Secret Garden - Song From A Secret Garden Mp3
Mp3-Codes.com